Siapa Amir Meludah? no komentar

Posted at 11:39 AM in


“Pakatan haprak Barisan fasis, kuasa ketiga pula macam najis secebis, biawak gagak ular ulat paku pakis, baik koyak kertas pangkah sang elitis”.

Ayat diatas tidak terbit daripada mulut penceramah yang ligat memanah bisa dibelakang podium-podium politik. Ianya juga bukan daripada para politikus yang sibuk ribut menabur janji di rapat-rapat umum. Sebaliknya, ianya adalah sedutan daripada sebuah lagu hip-hop karya seorang anak tempatan yang sedang marah terhadap mereka semua.

Amir Meludah bukanlah satu nama yang asing didalam arena muzik hip hop bawah tanah di Malaysia bahkan bagi yang mengikuti perkembangan hasil kerja beliau, Amir Meludah merupakan pemuisi atas ritma yang sering kali dinanti hasil kreativitinya yang terbaru. Sejak dua tahun yang lalu, sudah lebih 50 lagu yang telah dihasilkan oleh sang prolifik ini dan setiap satunya lebih baik daripada yang sebelumnya.

Amir Meludah atau nama sebenarnya Amir Othman, berusia 26 tahun, berasal dari Pulau Pinang kini sedang menyambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana (Masters Degree) didalam bidang Media Sains Komputer di Weimar, German. Mula berjinak dengan dunia muzik sejak di bangku sekolah lagi, Amir bermula dengan muzik hard rock, seterusnya metal dan akhirnya menemui diri yang sebenar dalam muzik hip hop saduran Nas, Del Tha Funky Homosapien dan Eminem, dialunkan dengan lirik lirik berbahasa melayu lantang bersadur cereka falsafah moden seperti Anarkisme dan Sosialisme.

Tidak seperti rakan-rakan dari komuniti hip-hop yang seangkatan dengan beliau, lirik-lirik keras dan berat yang diludahkan oleh Amir sarat mengandungi metafora-metafora politik yang cerdik dan bijak, mengajak para pendengar beliau untuk berfikir dan bukan hanya sekadar mendengar secara membuta tuli.

Dengan tajuk-tajuk lagu yang provokatif seperti Reklam Menifesto, Uniform Hodoh, Idealis Gagal  dan Tertunduknya Hamba Realiti, rima-rima puisi dengan tema-tema apolitikal, disusun cantik diatas rentak-rentak ritma minimalis seolah-olah untuk memberi ruang dan nafas kepada mesej sebenar yang ingin sampaikan oleh Amir Meludah.

Intipati saduran inilah yang menjadi kekuatan kepada lirik-lirik Amir Meludah, yang berjaya menarik perhatian ramai, terutamanya penggerak-penggerak politik arus kiri negara. Anarkisme, yang secara umumnya sering dikaitkan dengan komuniti Hardcore Punk, mencuit memberi salam kepada komuniti Hip Hop melalui Amir yang secara sendirian telah berjaya memecah tanggapan sesetengah pihak bahawasanya terdapat juga Anarkisme tidak hanya dijuarai oleh satu kelompok sahaja.

Sendirian mengangkat bendera Anarkisme dan apolitikal dalam komuniti hip hop, Amir Meludah sekali lagi mengejutkan ramai pihak, apabila beliau memilih untuk menerbitkan album pertama beliau di bawah Alteraktif Records, sebuah label penerbitan kecil berteraskan Hardcore Punk yang berpusat di Kota Bharu, Kelantan. Perkahwinan yang sedikit janggal, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Album debut Amir Meludah yang turut menggunakan jodol “Amir Meludah” ini telah pun merentas sempadan hip hop dan menerjah ke pasaran komuniti radikal Hardcore Punk dan sambutan terhadap album pengenalan tersebut amatlah mengejutkan. Penerimaan mereka terhadap keunikan dan mesej yang cuba diperjuangkan oleh Amir Meludah amat-amatlah memberansangkan, walaupun ianya berada diluar spektrum genre ganas dan bising yang seringkali dikaitkan dengan kelompok ini.

Dengan promosi yang minima melalui facebook, cakera padat yang dilancarkan dan dicetak secara terhad oleh Alteraktif Records pada 15 Ogos 2014 tersebut, habis terjual dalam masa empat hari selepas tarikh pelancaran. Permintaan semakin meningkat bila semakin ramai yang mula menangkap khabar angin tentang lirisis berapi ini.

Ini adalah Amir Meludah. Tendangan padu ke muka anda.


*untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan album pertama Amir Meludah, lawati www.alteraktif.blogspot.com atau hubungi alteraktif@gmail.com
0 Responses to 'Siapa Amir Meludah?'

Leave a Reply